Terkenangkan kehidupan aku dua tiga tahun kebelakangan ini sudah tentu aku bersyukur dengan segala nikmat yang Allah beri. Tentunya, terdapat banyak perkara yang ingin dikongsikan terutamanya kehidupan sebagai seorang pelajar.
Ada juga sekali dua, aku berdiri di hadapan cermin untuk melihat keadaan diri sendiri yang serba kekurangan. Tetapi tidak pernah sama sekali mengalir air mata konon kecewa melihat keadaan diri. Sama seperti orang lain, aku juga sedang mengalami proses kematangan dan perubahan.
Sebagai seorang pelajar, perkara yang paling manis dalam hidup aku di sini apabila aku mula diharapkan oleh orang lain. Bermakna orang lain percayakan kita. Tiada apa yang lebih manis daripada nikmat itu. Kepercayaan itu bukan hanya di bibir sahaja, aku sangat berterima kasih kepada mereka yang selalu usaha kuat untuk memberi perhatian dan ruang kepada aku untuk memajukan diri.
Hari ini, aku sudah selesai untuk tanggungjawab dan amanah sebagai pimpinan pelajar. Akhir-akhir ini, aku sering mengimbas kembali kenangan-kenangan dua tiga tahun kebelakangan ini. Bukan cerita manis sahaja, pasti ada gundah dan gulana juga.
Yang sedih apabila terkenangkan tekanan di dalam organisasi melibatkan "mulut-mulut" mereka yang gemar membuat tangapan sendiri dan membuat spekulasi tidak berasas. Isu paling menarik apabila ada yang melabelkan aku sombong. Tangapan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kepimpinan aku dari awal penglibatan sehingga hari ini. Kebanyakan orang akan cakap, aku sombong. Allahu !
Pertama, aku sangat bersyukur dengan anugerah wajah ini. Terkadang orang yang tidak mengenali perwatakan sebenar disebalik wajah aku pasti akan cakap nampak sombong. Sebenarnya tidak. Aku terkadang rasa sungguh tidak adil apabila dilabelkan seperti itu. Sebab aku bukan jenis yang seperti itu.
Kalau dahulu, aku cukup sukar untuk berinteraksi dengan sahabat-sahabat sesama ahli di dalam organisasi kerana masing-masing tidak tahu ingin memulakan komunikasi. Aku tengok mereka tak tegur, aku sendiri tertanya-tanya kena tegur atau tidak. Berlarutan sehingga ada kelompok yang mula labelkan kita sombong. Sedih tetapi apa daya, aku bukan malaikat yang boleh tahu isi hati seseorang. Aku terima dan langsung tidak menghiraukan perkara itu. Cuma hari ini, terpanggil untuk nukilkan kisah ini.
Sombong ? Bukan itu sifat aku. Kadang tertanya-tanya, ada orang terasa ke dengan perbuatan kita ? Jawapan yang terbaik adalah pasti ada. Tambah-tambah kalau kita terlibat dengan organisasi dan lagi malang jika berjawatan tinggi. Lagi tinggi jawatan, lagi hina dan teruk dikecam orang. Bagi saya, itu lumrah. Tetapi, kena pada batang hidung sendiri maka aku pasrah.
Ha ha ha ha ! Pendek cerita, setiap manusia ada sifat dan perwatakan mereka yang tersendiri. Terkadang dengan satu kelompok diterima dan untuk kelompok mungkin tidak sesuai. Kadang satu kelompok meramalkan sifat kita seperti ini dan mungkin ada yang menjangkakan kita seperti itu.
Jika ingin ikutkan semua kehendak orang, aku sudah cuba yang terbaikuntuk menjaga hati semua orang. Aku tiada pendekatan lain untuk diambil bagi memberi yang lebih kepada orang lain. Hanya ini yang termampu.
Dahulu, punya nak jaga hati orang. Setiap kali "whatapp" dengan orang lain, dihujung ayat pasti aku letak "emoji" senyum. Sebab takut orang salah faham. Dan, salah faham adalah perkara yang paling aku takut dalam hidup aku. Malangnya, perkara itu yang selalu menghantui hidup aku selama hari ini. Aku cuma berdoa supaya biar terbiasa dan tiada hati yang akan terluka.
Salah faham ? Aku kalau bercakap sememangnya agak kuat sedikit, dan gemar menggunakan intonasi yang tinggi supaya dapat menyakinkan orang lain dengan apa yang aku ucapkan. Aku sendiri tiada kesempatan untuk fikirkan apa yang orang lain fikir. Bagi aku, ia lebih nampak bersemangat dan berkeyakinan. Apabila ada yang terasa, perkara seperti ini yang menyebabkan aku tawar hati untuk berjumpa sesiapa. Semuanya jadi salah.
Apabila semua ini berlaku, banyak perkara yang akan menjadi sukar. Terutamanya apabila membuat sesuatu perbincangan untuk perkara berbangkit. Kadang kita pertahankan dan mungkin kita suarakan dengan lantang demi mempertahankan hujah kita. Dua tiga tahun yang lalu adalah sangat sukar. Tetapi hendak bandingkan nikmat lain yang Allah beri, aku jauh lebih bersyukur dengan dugaan dan ujian kecil "mulut-mulut" orang ini. Ujian ini kecil sahaja jika dinilai dengan hati dan emosi, tetapi jika dinilai dengan matang serta diimbangi dengan kewarasan maka kita akan faham bahawa ini adalah hakikat dunia. Tiada satu orang yang diterima sepenuhnya oleh orang lain, pasti ada cacat dan celanya.
Akhirnya, aku cuma berharap ada sisi baik di mata mereka yang ada disekeliling aku. Aku sedikit tidak ada perasaan terluka kepada "mereka-mereka" yang selama ini menekan. Aku lebih positif semua ini sebagai batu loncatan bagi aku memajukan diri.
uAku sayang semua
No comments:
Post a Comment